Thursday, June 26, 2008

Merokok dan Ketagihan Nikotin.

Sejak sekian lama merokok telah dianggap sebagai habit sosial atau kebiasaan dalam sesebuah masyarakat. Namun begitu, melalui data dan kajian yang dikumpul sejak lebih 2 dekad yang lalu, dapat dibuktikan bahawa merokok merupakan suatu proses ketagihan yang serius dan berpunca daripada nikotin yang terdapat dalam tembakau. Nak tahu lebih lanjut?

Asap rokok terdiri daripada campuran pelbagai jenis gas dan bahan kimia, antaranya ialah nikotin yang merupakan sejenis dadah yang menyebabkan ketagihan, sama seperti morfein dan heroin. Apabila asap rokok disedut ke dalam peparu, nikotin akan diserap kedalam aliran darah dan dihantar ke otak. Dalam masa 10-20 saat, nikotin akan sampai ke otak dan merangsang penghasilan dopamine di dalam nucleus accumbens pada sistem mesolimbic. Kajian ke atas haiwan telah membuktikan bahawa proses penghasilan dopamine yang dirangsang oleh nikotin ini merupakan sebab utama ketagihan rokok.

Selain daripada itu, bukti klinikal juga telah membuktikan bahawa nikotin didalam tembakau memenuhi kriteria dadah yang menyebabkan ketagihan. Ini kerana, nikotin menyebabkan perokok tidak dapat mengawal diri daripada merokok, sukar untuk mengawal penggunaan (contohnya berhenti merokok), terus merokok walaupun tahu kesan buruk merokok, serta mengalami withdrawal syndromes apabila cuba berhenti merokok.

Nikotin Withdrawal Syndrome.

Salah satu sebab kenapa nikotin merupakan satu dadah yang menyebabkan ketagihan yang serius ialah Nicotine Withdrawal Syndrome yang dialami oleh perokok apabila mereka cuba untuk berhenti merokok. Syndrome ini melibatkan perubahan pada perwatakan serta melibatkan perubahan fizikan dan psikologikal pada perokok.

Antara simptom-simptomnya adalah:

Simptom
1. Mudah marah
2. Tertekan
3. Resah gelisah
4. Tidak dapat berehat dengan cukup
5. Tidak dapat menumpukan perhatian
6. Selera makan meningkat
7. Keinginan untuk merokok semula
8. Tidak dapat tidur
9. Degupan jantung yang lemah

Hampir semua simptom-simptom ini dapat diatasi melaui penggunaan Nicotine Replacement Therapy (NRT) yang boleh didapati di farmasi melalui nasihat doktor.

Kebanyakan simptom akan beransur hilang dalam masa 4 minggu dari tarikh berhenti merokok, walaupun selera makan yang meningkat memerlukan lebih 10 bulan untuk kambali ke paras asal dan menyumbang kepada berat badan perokok yang bertambah. Daripada kesemua simptom diatas, tekanan/stress dan keinginan untuk merokok merupakan sebab utama kegagalan perokok untuk berhenti merokok secara kekal.

Rawatan

Terdapat beberapa strategi yang boleh digunakan untuk menolong para perokok untuk berhenti merokok.
Antaranya ialah kaunseling dan terapi di klinik, bantuan dan sokongan ahli keluarga dan sahabat handai, azam dan semangat untuk berhenti,menggunakan diari untuk merekodkan hari-hari yang tidak merokok, akupuntur, serta rawatan menggunakan ubatan seperti Nicotine Replacement Therapy dan Bupropion HCL.

Sebagai panduan, langkah -langkah untuk berhenti merokok adalah:

1. Tetapkan masa untuk berhenti merokok, contohnya dalam masa 1 minggu akan datang.

2. Beritahu ahli keluarga, sahabat, dan rakan sekerja yang anda ingin berhenti merokok.

3. Buang atau hindari segala benda yang dapat mengingatkan anda untuk merokok seperti kotak rokok, lighter, bekas abu rokok dan sebagainya.

3. Berhenti merokok secara total pada tarikh yang telah ditetapkan.

4. Gunakan pengalaman berhenti merokok yang lalu (walaupun tidak berjaya!) sebagai panduan untuk mengenalpasati strategi yang patut diambil atau diperbaiki untuk cubaan berhenti merokok yang seterusnya.

5. Kenalpasti punca-punca yang boleh menyebabkan keinginan untuk merokok seperti berehat selepas makan, bergaul dengan orang sahabat atau ahli keluarga yang merokok, dan stress.

6. Elakkan diri daripada berhadapan dengan situasi-situasi yang boleh menyebabkan anda ingin merokok (seperti diatas); jika tidak dapat dielakkan, gunakan strategi yang berkesan seperti beredar dari tempat yang ramai perokok, meminta perokok disebelah anda untuk berhenti, elakkan berbaring atau bermalasan selepas makan, ubah cara hidup dan sebaginya.

7. Sibukkan diri anda dengan bersukan dan sebagainya untuk mengelakkan keinginan merokok.

8. Minum air suam dengan kerap dan makan banyak buah-buahan. Ini kerana air dan serat dalam buah-buahan akan menyebabkan anda berasa kenyang @ "full" dan mungkin dapat mengatasi keinginan untuk merokok. Elakkan minuman bergula, kopi dan teh, serta makanan berat kerana karbohidrat dan kafein berpotensi untuk membuatkan anda ingin merokok semula.

5. Selain daripada langkah-langkah diatas,pada masa yang sama gunakan produk Nicotine Replacement Therapy seperti skin patch, buble gum dan sebagainya atas nasihat doktor untuk membantu anda berhenti dengan lebih berkesan.

6. Pada mereka yang beragama Islam, banyakkan solat, membaca al-Quran, berpuasa serta berdoa kepada Allah agar diberi kekuatan untuk berhenti merokok.

Sebagai kesimpulannya, merokok merupakan suatu ketagihan yang serius, kesan daripada nikotin yang terdapat dalam tembakau. Para perokok yang ingin berhenti merokok perlu berazam, berusaha sedaya upaya, meminta bantuan ahli keluarga dan sahabat handai, menggunakan Nicotine Replacement Therapy serta bersedia menghadapi proses withdrawal yang akan berakhir beberapa minggu dari tarikh berhenti merokok.

No comments: